Hari ini 3 Ramadhan bersamaan 13 Ogos 2010. Semua umat Islam memulakan perjalanan dan lawatan ke Pesta Ibadah. Ibadah yang dilakukan akan berlimpat ganda ganjarannya dari sebelum kedatangan Ramadhan Karim.
Alhamdulillah, malam ini malam ke dua solat sunat terawih dikerjakan oleh semua umat Islam, tidak terlepas jua mahasiswi USIM yang tinggal di Kolej Kediaman Sutera Indah yang pastinya akan menjadi tetamu Rumah Allah (Masjid Putra Bandar Baru Nilai) untuk beribadah setelah seharian menghabiskan masa di kampus. Manakala Kolej Kediaman Nilam Court di Nilai Impian dekat Nilai 3 pastinya membentangkan tikar di padang di hadapan surau Nilam Court.
Terimbas kembali kenangan menunaikan solat terawih 2 tahun lepas ketika baru sahaja bergelar seorang Mahasiswi, kali pertama menunaikan terawih bersama-sama rakan-rakan yang baru dikenali, kali pertama berpuasa tanpa keluarga di sisi. Hikmahnya, kita boleh mengeratkan hubungan sesama saudara seagama, yang renggang dieratkan, yang erat dirapatkan. Beberapa orang mahasiswa datang mengimami kami semua, jadi terasa jua seolah berada dalam masjid yang tiada dinding dan penghawa dingin semula jadi.
Sekarang saya menghuni Kolej Kediaman Acacia Avenue. Emm, rasanya suasana agak berbeza, tapi kami tetap melaksanakan solat sunat terawih seperti biasa walaupun tempatnya agak sempit. Tahniah buat JAKSA kerana mengambil anisiatif dengan menetapkan setiap blok kolej disediakan tempat untuk berjemaah. Setiap rumah akan menghantar wakil imamah dan bilal bagi mengetuai jemaah untuk melaksanakan solat sunat terawih. Mereka akan mengimami jemaah mengikut giliran yang ditetapkan oleh JAKSA.
Setiap sesuatu pasti ada kekurangan dan kelebihannya. Kekurangan yang tidak dapat dielakkan ruang solat tersebut tidak boleh menampung jemaah yang ramai. Bagi yang mempunyai kenderaan pastinya akan terus ke masjid, tapi yang tiada kemudahan, nah! Inilah peluang kalian. Cuma persoalannya, adakah kalian menyertainya? Jika kalian tidak boleh menyertai bersama-sama di ruang solat itu, buatlah berjemaah di dalam rumah masing-masing, kalau tidak pun berseorangan. Jangan sampai peluang keemasan ini berlalu begitu sahaja. Yang pastinya “Tepuk dada, tanya iman.”
No comments:
Post a Comment