Hari ini ada dua perkara yang telah aku tempuhi.. pertama kesedihan. Mengapa aku sedih? Aku tidak dapat menjalani test 'speaking MUET" dengan sebaiknya.. Subhanallah...hanya tuhan yang tahu perasaan ketika itu dengan kepala ni dah dua hari ditemani migrain. Nak study pun ala kadar saja. Alhamdulillah, migrain bukanlah ditahap kritikal. Mampu lagi untuk bergerak di sekitar kampus.
Pada petangnya pula, satu Majlis Perasmian Penutup Program Muzakarah Berkelompok Liqa' 2011 diadakan. Aku dipilih untuk menerima Anugerah Raisah terbaik dalam Liqa' 2011 dan saudara Muhammad Farel sebagai Rais Terbaik. Ini menjadi satu suntikan semangat untuk Rais/Raisah yang lain menjalankan amanah masing-masing pada masa akan datang meskipun sebelum ini tidak dijanjikan ganjaran dunia.
Hikmah yang inginku kongsikan disini bukan sekadar menceritakan anugerah yang diterima tetapi apa yang Allah kurniakan.
Subhanallah...begitu sayangnya tuhan kepada hambanya, kenapa tidaknya? Baru sahaja paginya aku mendapat cubaan kesedihan, petangnya pula diuji dengan kegembiraan. Kedua-duanya mempunyai kelebihan tersirat.
pertama: Hikmah Cubaan Kesedihan.
Cubaan ini menguji kesabaran kita dan kita redha dengan apa yang berlaku. Aku cuba menenagkan hati dengan cuba tersenyum namun sahabat-sahabat dapat membacanya. Ada sahabat yang memberi semangat dan cuba berfikiran positif agar tidak terlampau mengganggu fokus pada pembelajaran seterusnya.
Kedua:Hikmah Ujian Kegembiraan
Kenapa aku katakan kegembiraan itu satu ujian? bukankah itu satu nikmat? Ya, kegembiraan itu satu nikmat dan boleh menghilangkan kegusaran di hati tetapi kadangkala ada kegembiraan yang boleh mendatangkan riak. semoga hatiku teguh dari sikap riak yang datang tanpa diundang, yang hadir tanpa dijemput.
Kesimpulannya gembira itu nikmat seiringan ujian dan sedih itu cubaan seiringan dengan nikmat Allah SWT.
Di sini sedikit perkongsian mengenai Sujud Syukur:-
Kafiat Sujud Syukur sama sahaja dengan sujud Tilawah/sajadah diluar solat cuma tidak terdapat bacaan yang khas didalamnya. Jumhur ulama’ mengatakan bahawa sujud syukur ini sunat, akan tetapi hukumnya makruh dari pandangan Maliki. Bagi Mazhab Maliki, nikmat Allah swt tidak terkira nilainya. Walaubagaimana pun sujud syukur ini adalah yang mendekatkan diri kita dengan Allah swt.
Sujud Syukur dilakukan ketika menerima apa-apa yang membuat seseorang itu gembira, sama ada mendapat ganjaran ataupun dapat mengelak sesuatu bala dsb. Dalil kepada sujud syukur ini terdapat didalam Hadith dan Athaar. Salah satu hadith ialah Hadith dari Abu Bakar (r.a) mengatakan bahawa[1] beliau melihat:
أن النبي صلى الله عليه وسلم كان إذا أتاه أمر يسره وبشر به خر ساجدا شكرا لله تعالى
“Nabi saw apabila mendengar apa-apa berita yang membuat baginda merasa lapang, baginda akan turun sujud syukur kepada Allah swt” – (Hadith diriwayat oleh Lima kecuali Al-Nassai. Al-Turmidzi mengatakan Hadith ini Hasan Gharib)
Menurut Dr Wahbah Zuhaily didalam bab 5: Sebab dan sifat sujud Tilawah – Fiqh islami (2/118)[2], Sujud Syukur didalam Mazhab Syafie serupa dengan sujud Tilawah. Ia boleh dilakukan diatas kenderaan jika seseorang didalam didalam permusafiran. Terdapat 5 rukun iaitu:
a. Berniat.
b. Takbiratul Ihram
b. Sujud satu kali sahaja.
c. Duduk selepas sujud dan
d. Memberi salam.
Didalam Mazhab Hanbali pula, terdapat 3 rukun iaitu sujud, bangun dari sujud dan salam yang pertama. Takbir semasa sujud dan bangun darinya.
Cara sujud syukur didalam Mazhab Hanafi dan Mazhab Maliki hampir serupa bentuknya. Mereka akan terus sujud tanpa Takbir Al-Ihram dan bangun dari sujud tanpa memberi salam. Mereka akan bertakbir untuk sujud sahaja dan semasa bangun dari sujud.
Dari pandangan Sheikh Ibn Utsaimin rh pula, sebagaimana di dalam Fatawa Islamiyyah (1/205) mengatakan :
يكون سجود الشكر عن مصيبة اندفعت أو لنعمة تهيأت للإنسان وهو كالتلاوة خارج الصلاة ، فبعض العلماء يرى له الوضوء والتكبير ، وبعضهم يرى التكبيرة الأولى فقط ، ثم يخر ساجدا ويدعو بعد قوله سبحان ربي الأعلى
“Sujud Syukur dilakukan kerana selamat dari sesuatu musibah atau menerima Nikmat yang dikurniakan kepada seseorang (tanda terima kasih). Dilakukan seperti Sujud Tilawah di luar Solat, dan sebahagian ulama’mengatakan wudhu’ dan Takbir diperlukan, ada beberapa yang lain mengatakan cuma satu Takbir sahaja diperlukan. Kemudian diikuti dengan sujud dan berdo’a setelah berkata : Subhaana Rabbiy al-A’laa.”
————–
Rujukan :
1.Al-Lajnah al-Daa’imah li’l-Buhooth al-‘Ilmiyyah wa’l-Ifta’ – 7. Cetakan ke 3, tahun 2000. ms 266.
2. Dr Wahbah al-Zuhaily. Al-Fiqh Al-Islami wa adillatuh – II. cetakan ke 3. Beirut : Dar Al-Fikr, 1989. ms 117 – 120.
Hari ini Allah mengerakkan hatiku untuk melangkah ke kampus. Ada 2 program yang bakal aku sertai. Aku sampai agak lewat, namun demi memberi sokongan kepada adik-adik aku kuatkan diri walaupun membawa motor sendirian. Hidup ini bukan sentiasa berteman walhal bila di kubur pun kita akan ditinggalkan bersendirian. Buklan tidak mengajak kawan tapi mereka punya pilihan sendiri. Bukan itu yang ingin aku sampaikan, tapi apa yang berlaku dalam program ingin dikongsikan.
Sungguh berbakat adik-adik dalam membuat persembahan mereka tadi. Teringat kisah semasa kami short sem dan ELSP/ALSP. Kami juga mempunyai pertandingan seumpama itu. Kumpulan aku ditaklifkan untuk membuat persembahan dikir Arab yang bertajuk "Bahasa Arab". Alhamdulillah, kami dinobatkan johan pada pertandingan itu.
Satu kekecewaan yang terasa apabila melihat satu lakonan yang dipersembahkan. Ada yang berpakaian ketat dan menari terkinjal-kinjal oleh siswi. Ya Allah, ampunkanlah kekhilafan adik-adikku dalam mengatur persembahan mereka tadi. Lakonan mereka yang berkisahkan golongan remaja yang hanyut dengan hiburan duniawi, kematian dan keinsafan amat menyentuh hati dan muhasabah diri. Alhamdulillah, seorang pensyarah menegur kekhilafan mereka dan mengajak semua untuk sama-sama istighfar.
Islam jangan dilupakan walaupun apa pun keadaannya.
Garis Panduan Hiburan Dalam Islam
Keputusan:
Jawatankuasa Syariah Negeri Perlis sebulat suara membuat keputusan bahawa:
1.Nyanyian dan Muzik tanpa atau dengan alat muzik adalah harus berpandukan kepada dalil-dalil berikut:
Keterangan/Hujah:
Dalil dari al-Quran
a) Firman Allah di dalam Surah al-Jumaah ayat 11:
Maksudnya: Dan apabila mereka mengetahui kedatangan barang-barang dagangan ( yang baru tiba) atau (mendengar) sesuatu hiburan, mereka bersurai (lalu pergi) kepadanya dengan meninggalkan engkau berdiri ( diatas mimbar- berkhutbah). Katakanlah (Wahai Muhammad:Pahala-balasan) yang ada disisi Allah, lebih baik dari hiburan dan barang-barang dagangan itu, dan Allah sebaik-baik pemberi rezeki
Istinbat dari ayat di atas:
Sahabat-sahabat sedang mendengar khutbah Jumaat, meninggalkan Rasulullah saw dan pergi kepada perniagaan disamping mendengar nyaniyian yang menggembirakan (al-lahwu), namun demikian al-Quran tidak mengharamkan al-lahwu itu. Rasulullah saw juga tidak menempelak perbuatan itu. Ertinya: Nyanyian yang menggembirakan seperti itu adalah harus
b) Firman Allah di dalam Surah al-Anaam ayat 32 Maksudnya: Dan tidaklah kehidupan dunia ini melainkan mainan( yang sia-sia) dan hiburan yang melalaikan.
Istinbat dari ayat di atas:
Allah SWT menggambarkan penghidupan dunia ini seluruhnya ibarat permainan dan sukaria (al-laywu) kedua-duanya harus.
c) Firman Allah di dalam Surah al-Anbia" ayat 16-17
Maksudnya: Dan (ingatlah) kami menjadikan langit dan bumi serta segala yang ada diantaranya, secara main-main (16) Sekiranya kami hendak mengambil sesuatu ntuk hiburan, tentulah kami akan mengambilnya dari sisi kami, kami tidak melakukannya (17)
Istinbat dari ayat di atas:
Kedua-dua ayat di atas menyentuh dua perkara: i-mainan dan ii- kegembiraan (lahwu). Kefua-dua perkara tersebut tidak diharamkan. Ianya diharuskan( difahami dari gaya ayat).
Dalil dari as-Sunnah
a) Daripada Aisyah r.a katanya: Rasulullah saw telah masuk (menemui saya), ketika itu dua orang jariah (budak perempuan) sedang menyanyi- nyanyi (memperingati perang) Baath. Baginda (mendengar nyanyian) sambil berbaring ditempat baringku dan dipalingkan mukanya. (Tiba-tiba) masuk Abu Bakar r.a serta mengherdik saya dengan katanya serunai (mizmar) syaitan disisi nabi saw. Rasulullah saw mengadap Abu Bakar seraya berkata: Biarkan mereka menyanyi (tidak mengapa). Apabila keadaan Rasulullah saw agak selesa dan leka, aku mengisyaratkan dengan mataku kepada dua penyanyi tadi maka mereka pun berbenti menyanyi dan keluar (meninggalkan kami).(Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Istinbat dari hadis:
Hadis soheh ini jelas menunjukkan nyanyian adalah diharuskan. Kalau tidak harus masakan Rasulullah saw mendengar nyanyian bersama Aisyah. Abu Bakar yang berkecendurangan melarang dan cuba menegur putrinya Aisyah, telah ditegur oleh Rasulullah kepanya, tidak mengapa. Nyanyian adalah harus.
b) Daripada Khalid bin Zakwan katanya: Ar-Rabi" binti Ma"waz berkata: Telah dating mengunjungiku nabi saw bersempenan hari perkahwinanku, baginda mengambil tempat duduk diatas hamparanku dihadapanku, sepertiman kamu berada dihadapnku sekarang. Ketika itu sekumpulan perempuan sedang mengadakan persembahan nyanyian dengan iringan duff (sejenis alat muzik). Menggunakan senikata memuji pejuang-pejuang yang terqurban dikalangan bapa-bapa kami diperistiwa perang Badar. Salah seorang penyanyi tersebut meneruskan nyanyian dengan menggunakan lirik: bersama kami nabi Allah yang mengetahui apa yang alan berlaku esok hari. Mendengar lirik terakhir itu Rasulullah saw menyapa: tinggalkan lirik itu dan teruskan nyanyian dengan lirik yang telah kamu nyanyikan sebelumnya. ( Hadis riwayat al-Bukhari dan A
Istinbat dari hadis:
Rasulullah saw menghadiri majlis perkahwinan yang serikan dengan nyanyian wanita-wanita muda menggunakan alat muzik. Rasulullah saw tidak melarang malah turut mendengar nyanyian itu. Rasulullah saw tidak melarang malah turut mendengar nyanyian itu. Yang dilarang adalah lirik lagu yang jelas bertentangan dengan hokum syarak. Tidak ada insan( (walaupun ia Rasulullah) yang mengetahui apa yang akan berlaku besok. Nabi melarang lirik dan tidak melarang nyanyian.
Dari keterangan al-Quran dan as-Sunnah di atas menunjukkan bahawa nyanyian atau kegembiraan adalah harus. Namun demikian rasulullah saw menegur lirik yang didengarinya dan melarang penyanyi menggunakannya.
2. Di zaman ini nyanyian dan hiburan, ada yang telah bercampur baur dengan perkara-perkara yang bercanggah dengan syarak, sama ada persembahannya atau seni katanya. Dari situasi itu, Jawatankuasa Syariah memutuskan sebulat suara untuk meletakkan syarat-syarat berikut untuk mengharuskan nyanyian:
i. Tujuan penganjuran nyanyian untuk kebaikan ii. Berpakaian sopan serta menutup aurat iii. Tidak bercampur aduk lelaki perempuan sehingga menimbulkan fitnah dan merangsang kemaksiatan iv. Senikata/ lirik bermutu dan tidak bercanggah dengan hukum syarak v. Tempat dan gaya persembahan yang tidak mengundang maksiat
Qazaf ialah melemparkan tuduhan zina kepada orang yang baik lagi suci atau menafikan keturunanya.
PEMBAHAGIAN QAZAF
1.) Qazaf yang pesalah-pesalahnya boleh dikenakan hukuman hudud, seperti seseorang menuduh seseorang yang baik lagi suci berzina tanpa mengemukakan empat saksi lelaki yang adil.
2.) Qazaf yang pesalah-pesalahnya boleh dikenakan hukuman takzir seperti seseorang menuduh seseorang yang lain kufur, mencuri, minum arakatau murtad dan sebagainya, termasuk mencaci, memaki dan lain-lainnya yang boleh menjatuhkah marwah seseorang dan menghinanya.
Menuduh seseorang yang baik lagi suci berzina tanpa mengemukakan empat orang saksi lelaki yang adil hukumnya adalah haram dan termasuk dalam dosa besar dan wajib dikenakan hukuman had Qazaf (sebat) sebanyak 80 kali sebat, dan tidak boleh diterima penyaksiannya selama-lamanya kerana dia adalah orang fasiq.
Sebagaimana Firman Allah Taala yang bermaksud:
”Dan orang-orang yang melemparkan tuduhan zina kepada perempuan-perempuan yang terpelihara kehormatannya, kemudian mereka tidak membawa empat orang saksi. Maka sebatlah mereka 80 kali sebat, dan janganlah kamu terima persaksian mereka itu selama-lamanya kerana mereka itu adalah orang yang fasiq”.
(Surah An- Nur ayat 4)
PENUDUH YANG BOLEH DIKENAKAN HUKUMAN QAZAF
1. Berakal
2. Baligh
3. Kemahuan sendiri tidak dipaksa
4. Mengetahui haramnya Qazaf
5. Bukan ibu bapa dan datuk ke atas kepada orang yang dituduh.
Jika orang yang menuduh itu gila atau kanak-kanak yang belum baligh, tidak boleh dikenakan hukuman had Qazaf keatas mereka. Ini sebagaimana berdasarkan kepada hadith Rasulullah s.a.w. yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari yang bermaksud:
”Allah tidak akan menyiksa tiga golongan manusia, iaitu kanak-kanak sehingga ia baligh, orang yang tidur sehingga ia bangun dari tidurnya dan orang yang gila sehingga ia sembuh dari gilanya”.
(Riwayat Bukhari Fi Muslim)
CARA-CARA MELAKUKAN QAZAF
Dalam Qanun Jenayah Sayr’iyyah cara melakukan Qazaf terdapat tiga cara:
i) Tuduhan yang dibuat secara sarih (terang dan jelas), iaitu tuduhan yang menggunakan perkataan-perkataan yang jelas dan tepat yang tidak boleh ditafsirkan kepada maksud yang lain selain daripada zina dan penafian nasab (keturunan)
ii) Tuduhan yang dibuat secara kinayah (kiyasan), iaitu tuduhan yang menggunakan perkataan yang tidak jelas dan tidak tepat yang boleh membawa erti zina atau selainnya.
iii) Tuduhan yang dibuat secara ta’ridh (sindiran), iaitu tuduhan yang menggunakan perkataan yang tidak jelas dan tidak tepat juga yang boleh memberi pengertian yang lain daripadazina sebagaimana dilakukan dalam perkataan kinayah.
BUKTI-BUKTI YANG MENSABITKAN KESALAHAN QAZAF
Kesalahan Qazaf boleh disabitkan dengan salah satu dari bukti –bukti yang berikut:-
Igauan kisah lama mengamit hati dan fikiran. Dosa semalam tidak pernah luput difikiran. Seorang sahabat ada bertanya mengenai hukum hudud. Di mana jika penzina(orang Islam) itu di hukum seperti hukuman sekarang adakah orang Islam itu akan terlepas hukuman daripada Allah? Jawapannya tidak.
Aku tersentak...Pertanyaan itu sedikit menganggu fikiran dan hati yang dalam keadaan nkegusaran dengan beberapa perkara yang lain... Tiba-tiba terdetik di hati untuk bertanya satu soalan kepada Ustaz. “Ustaz, kalau seorang kanak-kanak yang berzina sebelum baligh, adakah dia akan dikenakan hukum hudud?
Jawapan ustaz yang aku kagumi itu... TIDAK...
Sabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi Wasallam:
Maksudnya: "Tiga orang yang dosanya TIDAK dicatat (TIDAK ada taklif): Orang yang tidur sehinggalah dia bangun, kanak-kanak sehinggalah dia besar (baligh) dan orang gila sehinggalah dia berakal atau sedar” (HR.an-Nasa’ie).
Sedikit senyuman terukir dan ketenangan mula menyapa... Alhamdulillah...moga aku lebih tabah menghadapi hari-hari yang mendatang... Bukan senang menjadi solehah dan bukan susah untuk menjadi seorang yang fasiq.
Esok satu lagi paper yang ana perlu jawab iaitu public speaking. Antara yang kami belajar, cara memberi ucapan di hadapan audience secara langsung dan pernah juga membuat rakaman. Merasa juga perasaan sebagai penceramah di hadapan kamera...hikhikhik. dalam subjek ini jugak kami banyak ditekankan mengenai peristiwa israk mikraj dan khutbah wida'. mengkaji bagaimana Rasulullah SAW menyampaikan khutbah. cuma kali ini ana ingin berkongsi mengenai suatu isu iaitu Monopoli.
Monopoli salah satu daripada tujuh isu yang diperkatakan oleh Rasulullah SAW dalam khutbah Wida'.
DEFINISI MONOPOLI :
Monopoliialah satu amalan menahan atau membekukan barang sehingga ke suatu keadaan yang meruncing , di mana harga barang itu melambung tinggi dan ketika itu barang tersebut dipasarkan. Motif monopoli ialah untuk mengaut keuntungan semata- mata yang dilakukanoleh peniaga yang tamak. Malahan dengan perlakuan , peniaga tersebut , ia boleh mendorong peniaga lain untuk melakukan aktiviti monopoli. Barang-barang yang sering dimonopoli ialah barang keperluan asas manusia
seperti gula, garam, beras dan sebagainya. Hal ini kerana , apabila barang ini berkurangan dipasaran, permintaan barang tersebut tidak berganjak dan kesangupan manusia untuk membeli barang tersebut walaupun harganya tinggi daripada harga asal.
IMPAK MONOPOLI :
1) Menghancurkan kebebasan perniagaan dan perindustrian, di mana monopoli menguasai pasaran dengan mengenakan harga dan mengeluarkan barang sesuka hati.
2)Merosakan hubungan sesama manusia. Berlakunya konflik pergaduhan kerana timbulnya rasa tidak puas hati
3) Melahirkan manusia yang tidak berperikemanusiaan. Sifat yang tamak demi mengejar keuntungan semata-mata tanpa menghiraukan status manusia terutamanya yang serba kekurangan.
FIRMAN ALLAHSWT :
Firman Allah yang bermaksud: “Jika engkau bersyukur atas nikmat-Ku, nescaya akan Akutambah. Dan jika kamu kufur, maka sesungguhnya azab-Ku amat pedih.” (Surah Ibrahim,ayat 7)
SABDA RASULULLAh :
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya ahli perniagaan di akhirat nantiakan dibangkitkan sama seperti pelacur dan penipu. Kecuali ahli perniagaan yang bertakwakepada Allah, menepati janji dan jujur.” (Hadis riwayat Ibnu Majah dan Ibnu Hibban)
Allah SWT telah menegaskan bahawa sesiapa yang menjalankan perniagaan dengan sesukahati iaitu tidak berpandukan al-Quran maka akan menimbulkan masalah yang berlipat gandaata kesilapannya. Sesungguhnya bukan sahaja hidup mereka tidak diberkati, tetapi merekadipandang serong oleh masyarakat dan merenggankan hubungan sesama Allah dan manusia .
Rasulullah juga menegaskan bahawa sesiapa yang menjalankan perniagaan berpandukan al-
Quran maka, mereka tergolong ke dalam orang yang beriman dan disayangi Allah SWT.
Emmm.... Wahai peniaga! wahai pengguna! Adakah situasi dimana kita mengalami masalah gula itu merupakan ciri-ciri monopoli? jadi kita sama-sama renungkan ye...
Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-90 yang bersidang pada 1 Mac 2010 mengenai "Hukum pelancong bukan Islam masuk masjid dan ruang solat utama dalam masjid."
Keputusan:
Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-90 yang bersidang pada 1 Mac 2010 telah membincangkan Hukum Pelancong Bukan Islam Memasuki Masjid Dan Ruang Solat Utama Di Dalam Masjid.
Muzakarah telah memutuskan bahawa pelancong bukan Islam diharuskan memasuki masjid dan ruang solat dengan syarat mendapat keizinan pihak pengurusan masjid dan perlakuan serta tingkah laku mereka tidak mencemarkan kesucian masjid dan sentiasa terkawal dan beradab.
Walaubagaimanapun, perbuatan berdoa atau bertafakur oleh pelancong bukan Islam mengikut cara agama mereka dalam keadaan yang boleh menimbulkan fitnah adalah dilarang.
Keterangan/Hujah:
1. Dalam hal-hal yang berkaitan ibadah, sensitiviti umat Islam sangat tinggi dan nilai-nilai ta'abbudi amat dititikberatkan oleh masyarakat Islam.
2. Umat Islam dibenarkan melakukan ibadah sembahyang walaupun di dalam gereja kerana Saidina Umar al-Khattab pernah melakukannya. Umat Islam perlu bersikap tasamuh dan tidak terlalu rigid dalam membenarkan orang bukan Islam mendekati masjid.
3. Keindahan Islam boleh ditunjukkan kepada orang bukan Islam melalui lawatan mereka ke masjid-masjid selaras dengan peraturan dan garis panduan yang telah ditetapkan oleh pengurusan masjid.
4. Sikap membenarkan orang bukan Islam memasuki masjid tidak boleh disamakan dengan sikap tidak membenarkan penggunaan kalimah Allah oleh Kristian kerana konsepnya adalah berbeza.(Sumber e-fatwa.gov.my/Harakah/AK)
Syaaban telah melabuhkan tirainya, Ramadhan pula membuka pintu rahmat seluas-luasnya buat sebaik-baik umat iaitu Umat Islam. Puasa merupakan taklifan wajib yang telah disyariatkan, adan merupakan salah satu rukun Islam.
Kalam suci Allah SWT: “Hai orang-orang yang beriman, diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang sebelum kamu agar kamu bertakwa.”
Hari ini saya ingin kongsikan pandangan seorang imam terhadap puasa. Imam al-Ghazali telah mengbahagikan puasa mempunyai tiga tingkat:
1) Puasa Umum,
2) Puasa Istimewa,
3) Puasa Paling Istimewa.
Puasa Umum
Puasa kebanyakkannya umat Islam yang sekadar mampu menghindarkan perut daripada makan, minum, dan menahan keinginan berjimak.
Puasa Istimewa( puasa Khusus)
Puasa yang boleh memelihara mata, telinga, lidah, tangan, dan kaki daripada melakukan dosa selain menahan diri daripada perkara-perkara di atas.
Puasa Paling istimewa(Puasa Khusus al-Khusus)
Merangkumi puasa umum dan puasa istimewa. Disempurnakan pula dengan puasa hati daripada semua keinginan lahir dan batin. Inilah puasa tertinggi kedudukannya di sisis Allah SWT dan merupakan amalan puasa para rasul, nabi, para sahabat, para wali dan golongan ahli ibadah lain.
Aduh,,, sedihnya rasa bila dihisabnya diri sendiri, pastinya diri ini belum mencapai tahap Puasa Istimewa. Ayuh Sahabat-sahabat…!!! Kita sama-sama memperjuangkannya. Sabda Rasulullah SAW: “ Sesiapa berpuasa Ramadhan dengan penuh keimanan, mengharap balasan daripada Allah diampunkan dosa-dosanya yang lalu”.
Israk Mikraj adalah satu perjalanan kilat Nabi Muhammad pada malam hari atas kudrat dan iradat Allah dari Masjidil Haram ke Masjidil Aqsa. Baginda kemudian naik ke langit sampai ke Sidratil Muntaha, bahkan ke Mustawa dan sampai di bawah Arasy Allah (suatu tempat di mana alam ini diatur) dengan menembusi tujuh lapis langit, lalu kembali semula ke Makkah pada malam yang sama. Berlaku pada 27 Rejab, setahun sebelum Hijrah ke Madinah bersamaan 721 M.
Peristiwa Israk dan Mikraj mengandungi sesuatu yang amat menakjubkan kerana ia tidak sama dengan cara perjalanan ditempuh oleh manusia biasa. Perjalanan ini adalah perjalanan istimewa menggunakan kenderaan Allah yang kelajuannya tidak boleh ditandingi dengan apa saja kenderaan yang direka oleh manusia. Pastinya sukar untuk diterima tetapi itulah hakikatnya.
Sebagai analogi, saya mengambil seekor kumbang. Si kumbang merayau-rayau lalu memasuki kereta seorang Ustaz yang akan meneruskan perjalanannya dari Kuala Lumpur ke Kelantan dan sebaik sahaj urusannya selesai, si Ustaz terus bertolak pulang ke Kuala Lumpur. Pada keesokkannya si kumbang itu, kembali ke habitatnya lalu menceritakan kepada rakan-rakannya, namun ceritanya diragui, mana mungkin si kumbang mampu terbang begitu jauh dan boleh kembang dengan segera.
Hikmahnya, pasti adanya sesuatu yang memungkinkan si kumbang itu sampai ke tempat yamg jauh dan kembali dengan segera iaitu kereta. Begitu jua dengan peristiwa perjalanan Rasulullah S.A.W, tanpa kuasa yang lebih hebat pastinya baginda tidak dapat melalui perjalanan tersebut kecuali dengan pertolongan Allah yang Maha Berkuasa.
SEBELUM ISRAK DAN MIKRAJ
Rasulullah S. A. W. mengalami pembedahan dada, dilakukan oleh malaikat Jibrail dan Mika’il. Hati Baginda S. A. W dicuci dengan air zamzam, dibuang ketul hitam (‘alaqah) iaitu tempat syaitan membisikkan waswasnya. Kemudian dituangkan hikmat, ilmu, dan iman ke dalam dada Rasulullah S. A. W. Setelah itu, dadanya dijahit dan dimeterikan dengan “khatimin nubuwwah”. Selesai peristiwa pembedahan dadanya, didatangkan binatang bernama Buraq untuk ditunggangi oleh Rasulullah dalam perjalanan luar biasa yang dinamakan “Israk” itu.
SEMASA ISRAK (PERJALANAN DARI MASJIDIL-HARAM KE MASJIDIL-AQSA):
Sepanjang perjalanan(israk) itu Rasulullah S.A.W diiringi oleh malaikat Jibrail dan Israfil. Tiba di tempat-tempat tertentu(tempat-tempat yang mulia dan bersejarah), Rasulullah telah diarah oleh Jibrail supaya berhenti dan bersembahyang sebanyak dua rakaat. Antara tempat-tempat berkenaan ialah:
1- Negeri Thaibah(Madinah), tempat di mana Rasulullah akan melakukan hijrah.
2-Bukit Tursina, iaitu tempat Nabi Musa A.S menerima wahyu daripada Allah.
3-Baitul-Laham (tempat Nabi ‘Isa A. S. dilahirkan)
Dalam perjalanan itu juga baginda Rasulullah S.A.W menghadapi gangguan jin ‘Afrit dengan api jamung dan dapat menyasikan peristiwa-peristiwa simbolik yang amat ajaib. Antaranya :
*Kaum yang sedang bertanam dan terus menuai hasil tanaman mereka. apabila dituai, hasil (buah) yang baru keluar semula seolah-olah belum lagi dituai. Hal ini berlaku berulang-ulang. Rasulullah S.A.W dibertahu oleh Jibrail : Itulah kaum yang berjihad “Fisabilillah” yang digandakan pahala kebajikan sebanyak 700 kali ganda bahkan sehingga gandaan yang lebih banyak.
* Tempat yang berbau harum. Rasulullah S.A.W diberitahu oleh Jibrail : Itulah bau kubur Masyitah (tukang sisir rambut anak Fir’aun) bersama suaminya dan anak-anak-nya (termasuk bayi yang dapat bercakap untuk menguatkan iman ibunya) yang dibunuh oleh Fir’aun kerana tetap teguh beriman kepada Allah (tak mahu mengakui Fir’aun sebagai Tuhan).
* Sekumpulan orang yang sedang memecahkan kepala mereka. Setiap kali dipecahkan, kepala mereka sembuh kembali, lalu dipecahkan pula. Demikian dilakukan berkali-kali. Jibrail memberitahu Rasulullah: Itulah orang-orang yang berat kepala mereka untuk sujud (sembahyang).
* Sekumpulan orang yang hanya menutup kemaluan mereka (qubul dan dubur) dengan secebis kain. Mereka dihalau seperti binatang ternakan. Mereka makan bara api dan batu dari neraka Jahannam. Kata Jibrail : Itulah orang-orang yang tidak mengeluarkan zakat harta mereka.
* Satu kaum, lelaki dan perempuan, yang memakan daging mentah yang busuk sedangkan daging masak ada di sisi mereka. Kata Jibrail: Itulah lelaki dan perempuan yang melakukan zina sedangkan lelaki dan perempuan itu masing-masing mempunyai isteri / suami.
* Lelaki yang berenang dalam sungai darah dan dilontarkan batu. Kata Jibrail: Itulah orang yang makan riba`.
* Lelaki yang menghimpun seberkas kayu dan dia tak terdaya memikulnya, tapi ditambah lagi kayu yang lain. Kata Jibrail: Itulah orang tak dapat menunaikan amanah tetapi masih menerima amanah yang lain.
* Satu kaum yang sedang menggunting lidah dan bibir mereka dengan penggunting besi berkali-kali. Setiap kali digunting, lidah dan bibir mereka kembali seperti biasa. Kata Jibrail: Itulah orang yang membuat fitnah dan mengatakan sesuatu yang dia sendiri tidak melakukannya.
* Kaum yang mencakar muka dan dada mereka dengan kuku tembaga mereka. Kata Jibrail: Itulah orang yang memakan daging manusia (mengumpat) dan menjatuhkan maruah (mencela, menghinakan) orang.
* Seekor lembu jantan yang besar keluar dari lubang yang sempit. Tak dapat dimasukinya semula lubang itu. Kata Jibrail: Itulah orang yang bercakap besar (Takabbur). Kemudian menyesal, tapi sudah terlambat.
* Seorang perempuan dengan dulang yang penuh dengan pelbagai perhiasan. Rasulullah tidak memperdulikannya. Kata Jibrail: Itulah dunia. Jika Rasulullah memberi perhatian kepadanya, nescaya umat Islam akan mengutamakan dunia daripada akhirat.
* Seorang perempuan tua duduk di tengah jalan dan menyuruh Rasulullah berhenti. Rasulullah S. A. W. tidak menghiraukannya. Kata Jibrail: Itulah orang yang mensesiakan umurnya sampai ke tua.
* Seorang perempuan bongkok tiga menahan Rasulullah untuk bertanyakan sesuatu. Kata Jibrail: Itulah gambaran umur dunia yang sangat tua dan menanti saat hari kiamat.
Setibanya di masjid Al-Aqsa, Rasulullah turun dari Buraq. Kemudian masuk ke dalam masjid dan mengimamkan sembahyang dua rakaat dengan segala anbia` dan mursalin menjadi makmum.
Rasulullah S.A.W terasa dahaga, lalu dibawa Jibrail dua bejana yang berisi arak dan susu. Rasulullah memilih susu lalu diminumnya. Kata Jibrail: Baginda membuat pilhan yang betul. Jika arak itu dipilih, nescaya ramai umat baginda akan menjadi sesat.
SEMASA MIKRAJ (NAIK KE HADHRATUL-QUDUS MENEMUI ALLAH):
Didatangkan Mikraj(tangga) yang indah dari syurga. Rasulullah S.A.W dan Jibrail naik ke atas tangga pertama lalu terangkat ke pintu langit dunia (pintu Hafzhah).
i. Langit Pertama: Rasulullah S.A.W dan Jibrail masuk ke langit pertama, lalu berjumpa dengan Nabi Adam A.S. Kemudian dapat melihat orang-orang yang makan riba` dan harta anak yatim dan melihat orang berzina yang rupa dan kelakuan mereka sangat huduh dan buruk. Penzina lelaki bergantung pada susu penzina perempuan.
ii. Langit Kedua: Rasulullah S.A.W dan Jibrail naik tangga langit yang kedua, lalu masuk dan bertemu dengan Nabi ‘Isa A.S. dan Nabi Yahya A.S.
iii. Langit Ketiga: naik tangga langit ketiga. Bertemu dengan Nabi Yusuf A.S.
iv. Langit Keempat: Naik tangga langit keempat. Bertemu dengan Nabi Idris A.S.
v. Langit Kelima: Naik tangga langit kelima. Bertemu dengan Nabi Harun A.S. yang dikelilingi oleh kaumnya Bani Israil.
vi. Langit Keenam: Naik tangga langit keenam. Bertemu dengan Nabi-Nabi. Seterusnya dengan Nabi Musa A. S. Rasulullah mengangkat kepala (disuruh oleh Jibrail) lalu dapat melihat umat baginda sendiri yang ramai, termasuk 70,000 orang yang masuk syurga tanpa hisab.
vii. Langit Ketujuh: Naik tangga langit ketujuh dan masuk langit ketujuh lalu bertemu dengan Nabi Ibrahim Khalilullah yang sedang bersandar di Baitul-Ma’mur dihadapi oleh beberapa kaumnya. Kepada Rasulullah S.A.W, Nabi Ibrahim A.S. bersabda, “Engkau akan berjumapa dengan Allah pada malam ini. Umatmu adalah akhir umat dan terlalu dha’if, maka berdoalah untuk umatmu. Suruhlah umatmu menanam tanaman syurga iaitu LA HAULA WALA QUWWATA ILLA BILLAH”.
Mengikut riwayat lain, Nabi Ibrahim A.S. bersabda, “Sampaikan salamku kepada umatmu dan beritahu mereka, syurga itu baik tanahnya, tawar airnya dan tanamannya ialah lima kalimah, iaitu: SUBHANALLAH, WAL-HAMDULILLAH, WA LA ILAHA ILLALLAH, ALLAHU AKBAR dan WA LA HAULA WA LA QUWWATA ILLA BILLAHIL- ‘ALIYYIL-’AZHIM. Bagi orang yang membaca setiap kalimah ini akan ditanamkan sepohon pokok dalam syurga. Setelah melihat beberapa peristiwa lain yang ajaib, Rasulullah dan Jibrail masuk ke dalam Baitul-Makmur dan bersembahyang (Baitul-Makmur ini betul-betul di atas Baitullah di Mekah).
iix. Tangga Kelapan: Di sinilah disebut “al-Kursi” yang berbetulan dengan dahan pokok Sidratul-Muntaha. Rasulullah S.A.W. menyaksikan pelbagai keajaiban pada pokok itu. Sungai air yang tak berubah, sungai susu, sungai arak dan sungai madu lebah. Buah, daun-daun, batang dan dahannya berubah-ubah warna dan bertukar menjadi permata-permata yang indah. Unggas-unggas emas berterbangan. Semua keindahan itu tak terperi oleh manusia. Rasulullah S.A.W. dapat menyaksikan pula sungai Al-Kautsar yang terus masuk ke syurga. Seterusnya baginda masuk ke syurga dan melihat neraka berserta dengan Malik penunggunya.
ix. Tangga Kesembilan: Di sini berbetulan dengan pucuk pokok Sidratul-Muntaha. Rasulullah S.A.W masuk di dalam nur dan naik ke Mustawa dan Sharirul-Aqlam. Lalu dapat melihat seorang lelaki yang ghaib di dalam nur ‘Arasy, iaitu lelaki di dunia yang lidahnya sering basah berzikir, hatinya tertumpu penuh kepada masjid dan tidak memaki ibu bapanya.
x. Rabbul-Arbab lalu dapat menyaksikan Allah S.W.T dengan mata kepalanya, lantas sujud. Kemudian berlakulah dialog antara Allah dan Muhammad, Rasul-Nya:
Allah S.W.T: Ya Muhammad Rasulullah! Labbaika.
Allah S. W. T : Angkatlah kepalamu dan bermohonlah, Kami perkenankan.
Rasulullah : Ya, Rabb. Engkau telah ambil Ibrahim sebagai Khalil dan Engkau berikan dia kerajaan yang besar. Engkau berkata-kata dengan Musa. Engkau berikan Daud kerajaan yang besar dan dapat melembutkan besi. Engkau kurniakan kerajaan kepada Sulaiman yang tidak Engkau kurniakan kepada sesiapa pun dan memudahkan Sulaiman menguasai jin, manusia, syaitan dan angin. Engkau ajarkan ‘Isa Taurat dan Injil. Dengan izin-Mu, dia dapat menyembuhkan orang buta, orang sufaq dan menghidupkan orang mati. Engkau lindungi dia dan ibunya daripada syaitan.
Allah S.W.T : aku ambilmu sebagai kekasih. Aku perkenankanmu sebagai penyampai berita gembira dan amaran kepada umatmu. Aku buka dadamu dan buangkan dosamu. Aku jadikan umatmu sebaik-baik umat. Aku beri keutamaan dan keistimewaan kepadamu pada hari qiamat. Aku kurniakan tujuh ayat (surah Al-Fatihah) yang tidak aku kurniakan kepada sesiapa sebelummu. Aku berikanmu ayat-ayat di akhir surah al-Baqarah sebagai suatu perbendaharaan di bawah ‘Arasy. Aku berikan habuan daripada kelebihan Islam, hijrah, sedekah dan amar makruf dan nahi munkar. Aku kurniakanmu panji-panji Liwa-ul-hamd, maka Adam dan semua yang lainnya di bawah panji-panjimu. Dan aku fardhukan atasmu dan umatmu lima puluh (waktu) sembahyang.
Selesai munajat, Rasulullah S.A.W di bawa menemui Nabi Ibrahim A.S. kemudian Nabi Musa A.S. yang kemudiannya menyuruh Rasulullah S.A.W merayu kepada Allah S.W.T agar diberi keringanan, mengurangkan jumlah waktu sembahyang itu. Selepas sembilan kali merayu, (setiap kali dikurangkan lima waktu), akhirnya Allah perkenan memfardhukan sembahyang lima waktu sehari semalam dengan mengekalkan nilainya sebanyak 50 waktu juga.
SELEPAS MIKRAJ
Rasulullah S.A.W turun ke langit dunia semula. Seterusnya turun ke Baitul-Maqdis. Lalu menunggang Buraq perjalanan pulang ke Mekah pada malam yang sama. Dalam perjalanan ini baginda bertemu dengan beberapa peristiwa yang kemudiannya menjadi saksi (bukti) peristiwa Israk dan Mikraj yang amat ajaib itu (Daripada satu riwayat peristiwa itu berlaku pada malam Isnin, 27 Rejab, kira-kira 18 bulan sebelum hijrah). Wallahu’alam.
(Sumber : Kitab Jam’ul-Fawaa`id) Kesimpulannya, peristiwa Israk dan Mikraj bukan hanya sekadar sebuah kisah sejarah yang diceritakan kembali setiap kali 27 Rejab menjelang. Adalah lebih penting untuk kita menghayati pengajaran di sebalik peristiwa tersebut bagi meneladani perkara yang baik dan menjauhi perkara yang tidak baik. Peristiwa Israk dan Mikraj yang memperlihatkan pelbagai kejadian aneh yang penuh pengajaran seharusnya memberi keinsafan kepada kita agar sentiasa mengingati Allah dan takut kepada kekuasaan-Nya.
Seandainya peristiwa dalam Israk dan Mikraj ini dipelajari dan dihayati benar-benar kemungkinan manusia mampu mengelakkan dirinya daripada melakukan berbagai-bagai kejahatan. Kejadian Israk dan Mikraj juga adalah untuk menguji umat Islam (apakah percaya atau tidak dengan peristiwa tersebut). Orang-orang kafir di zaman Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam langsung tidak mempercayai, malahan memperolok-olokkan Nabi sebaik-baik Nabi bercerita kepada mereka.
Peristiwa Israk dan Mikraj itu merupakan ujian dan mukjizat yang membuktikan kudrat atau kekuasaan Allah Subhanahu Wataala. Allah Subhanahu Wataala telah menunjukkan bukti-bukti kekuasaan dan kebesaran-Nya kepada Baginda Sallallahu Alaihi Wasallam.