Saturday, January 28, 2012

PEMANTAPAN AKIDAH MELALUI PENGHAYATAN IBADAH DI PERKID

PENDAHULUAN:

Pengkaji cuba merumuskan hasil kajiannya setelah membuat kajian lapangan melalui temubual dan mengedarkan soalan kaji selidik di PERKID dalam tempoh 5 bulan. Seterusnya pengkaji memberikan beberapa cadangan yang dirasakan bersesuaian dengan organisasi dakwah yang memfokuskan remaja wanita sebagai sasaran dakwah mereka.

Dalam berdakwah, kajian mendapati pihak PERKID tidak memfokuskan tarbiah rohaniah dengan solat fardhu, solat sunat dan zikir semata-mata, tetapi PERKID juga menyediakan suatu pendidikan yang meningkatkan intelektual, syaksiah dan kemahiran melalui kelas-kelas yang sediakan bagi memenuhi masa mereka di Rumah Kebajikan PERKID.

RUMUSAN:

Ruangan yang masa yang singkat ini,  pengkaji merumuskan bahawa Amal ibadah dapat membentuk peribadi yang luhur yakni mengukuhkan dan memantapkan akidah seorang muslim dengan beribadah kepada Allah SWT sebelum menjalani kehidupan seperti bekerja, belajar, makan, minum, berkahwin, muamalat dengan insan-insan disekeliling kita dan sebagainya. Penghayatan ibadah yang mendekatkan diri seorang hamba yang kerdil dengan tuhannya telah membentuk seorang muslim yang soleh dan solehah. Dalam pada itu, pengkaji melihat kesan mendekatkan diri dengan golongan ulama’ menjadi inspirasi yang kedua selepas mencontohi akhlak Rasulullah SAW. Penghayatan ibadah adalah berhubungkait dengan matlamat kita diciptakan dibumi ini. Firman Allah SWT yang bermaksud:

56. Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepadaKu.

Menurut Radhi Ibrahim (2006) pula, melalui penghayatan terhadap ibadah yang telah diwajibkan Allah SWT seperti solat dan puasa, akan dapat mengukuhkan lagi pegangan akidah individu Muslim. Ini kerana bacaan dan tindakan yang terkandung di dalam ibadah-ibadah tersebut mengandungi perkara yang mengukuhkan lagi hubungan antara manusia dengan penciptanya, demikian juga hubungan antara manusia sesama manusia.Perlaksanaan ibadah yang disertai dengan penghayatan sememangnya akan lebih memberi kesan dalam membentuk jati diri individu Muslim yang mantap dan bersesuaian dengan ajaran Islam.

Hasil daripada kajian ini juga, pengkaji mendapati PERKID bukan sahaja menekankan solat fardhu 5 waktu sehari semalam secara berjemaah, malahan menyarankan para remaja berkenaan solat sunat malam (Qiamullai) turut difokuskan, kerana Qiamullai itu mempunyai intipati yang tersendiri selain daripada menyarankan mereka menyucikan hati dari segala dosa dengan bertaubat kepada Allah SWT. Daripada Abu Hurairah: “Aku bertanya: Wahai Rasulullah! Beritahulah kepadaku tentang suatu amalan yang membolehkan aku masuk Syurga lalu nabi s.a.w bersabda yang bermaksud: Sebarkanlah salam, jamukanlah makan, dirikanlah solat sedangkan manusia lain sedang tidur nescaya engkau akan masuk Syurga dengan selamat.” Dikeluarkan oleh Imam Ahmad, Hakim dan Ibnu Habban dengan sanad sohih.[2] Disamping itu, pihak PERKID menggalakkan para remaja mengingati Allah dengan zikir-zikir khusus yang telah diambil dan dikumpulkan dari Al-Quran dan Hadith.

Kesimpulannya, pengkaji mendapati pendekatan dakwah yang dilaksanakan oleh PERKID selari dengan manhaj Rasulullah SAW yang merangkumi aspek pendidikan, kerohanian dan akhlak dalam menyampaikan dakwah mereka. Selain itu, Pengkaji merasakan aktiviti dakwah seperti ini akan terus cemerlang sekiranya ia dilaksanakan dengan bersungguh-sungguh dengan mendapat sokongan daripada masyarakat, organisasi Islam dan pemerintah dalam melahirkan generasi soleh dan solehah, sekaligus membendung gejala sosial yang makin berleluasa dalam kalangan remaja kita hari ini. Gerakan dakwah seumpama ini terbantut apabila masyarakat memandang remeh isu gejala sosial sedangkan ia merupakan masalah ummah.


CADANGAN
1.   
   Pengkaji berpendapat bahawa, Pihak PERKID mewujudkan satu penanda aras (Key Perfomance Index) untuk menilai keberkesanan sesuatu metode dakwah yang dijalankan dan dibangunkan menerusi penyelidikan yang lebih komprehensif untuk membuat penilaian terhadap metode yang digunakan dari semasa ke semasa.

2.      Kajian mengenai persepsi, harapan dan kehendak remaja terhadap organisasi dakwah seperti PERKID perlu diperluaskan. Inilah satu wasilah yang bakal menentukan mesej dakwah dan pendekatan yang digunakan sebelum ini berkesan dan bersesuaian dengan kehendak remaja dan ianya selari dengan syariat Islam.

3.      Pengkaji berpendapat satu Pelan Tindakan Strategik diwujudkan bagi mengkaji pendekatan yang lebih kreatif dan inovatif yang membolehkan PERKID bertahan apabila berdepan kemungkinan sama ada persaingan atau kekangan yang boleh membantutkan pencapaian visi dan misi dakwah PERKID pada masa akan datang.

Firman Allah yang bermaksud: “Dan orang yang berusaha bersungguh-sungguh kerana memenuhi kehendak agama Kami, sesungguhnya Kami akan memimpin mereka ke jalan Kami (yang menjadikan mereka bergembira serta beroleh keredaan) Dan sesungguhnya (pertolongan dan bantuan) Allah adalah berserta orang yang berusaha memperbaiki amalannya.” (Surah al-Ankabut, ayat 69)



[1] Adz-Dzariyat 51: 56.
[2] Kelebihan Qiamullail. http://halaqah.net/v10/index.php?topic=1942.0

No comments:

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails