Friday, November 26, 2010

***Warkah Si Faqirah***


Aku sedar aku lahir dari keluarga yang kecil. Bukan dari keluarga yang kuat agama. Bukan dari keluarga yang berada. Bukan jua dari keluarga yang berpelajaran tinggi.  Aku cuba menjadi wasilah ke arah kebaikan tapi aku tak mampu untuk berjuang bersendirian. Ayah dan ibu menguatkan aku, mendorong aku untuk menjadi daie wa mad’u  dalam keluargaku. Ayah dan ibu hanya petani dahulu dan kini. Cuma ada ketika mengubah kerjaya dari tempat kerja berteduhkan langit, berkipaskan angin dan hangus dengan bahang matahari ke kantin asrama. Namun kerja petani tetap menjadi pilihan hati.

Perkara yang utama aku tekankan dalam keluargaku adalah solat dan menutup aurat dalam kalangan ahli keluarga terdekat. Tetapi masih ada lompangnya lagi. InsyaAllah, akan diperbaiki. Walaupun Ayah dan ibu bukanlah ustaz atau ustazah kalian amat menekankan hal yang berkaitan solat. Ayah boleh menjadi imam untuk kami apabila solat berjemaah di rumah. Itu kredit untuk ayah di akhirat kelak… insyaAllah.

 Bila saja cuti persekolahan tiba mahupun cuti raya ada saja ahli keluarga yang mengundang untuk ke majlis perkahwinan mereka. Sekali sekala terdetik di hati dan fikiran bilakah pula masanya untuk diriku? InsyaAllah ada la tu…
Sungguh aku dilema untuk menjejakkan kaki ke alam perkahwinan. Kebimbangan disebabkan pengalaman yang menjadi batu penghalang untuk meneruskan niat di hati. Melihat bagaimana ahli keluarga yang sudah berumah tangga menyusuri hari-hari yang dilalui bersama-sama pasangan pilihan rumah tangga menjadi syurga di dunia.

Antara Rahsia perkahwinan:

1)      Perkahwinan merupakan Sunnah para nabi dan rasul. " Dan Sesungguhnya kami Telah mengutus beberapa Rasul sebelum kamu dan kami memberikan kepada mereka isteri- isteri dan keturunan". (Surah ar-Arad:38)    
2)      Melahirkan Zuriat keturunan yang beriman dan memakmurkan bumi Allah SWT.
3)      Perkahwinan dianggap sebagai suatu ibadah.
         Al-Baihaqi r.a meriwayatkan hadis daripada Rasulullah s.a.w bermaksud: apabila telah berkahwin seseorang hamba itu, maka dia telah memenuhi separuh agamanya. Maka bertakwalah dia kepada Allah pada separuh yang belum disempurnakan.
4)      Islam ingin mengikis rasa takut, tidak mampu memikul tanggungjawab terhadap isteri dan anak-anak kerana Allah menjamin rezeki mereka.
      Hadis Rasulullah s.a.w bermaksud: “Sesiapa yang meninggalkan perkahwinan kerana takut kemiskinan maka ia bukanlah daripada golonganku.
5)      Memelihara Maruah
      Hadis Rasulullah s.a.w bermaksud: Wahai para pemuda, sesiapa yang mampu berumah tangga, hendaklah ia berbuat demikian dapat menundukkan penglihatan dan memelihara kehormatannya. Sesiapa yang tidak mampu, hendaklah dia berpuasa, justeru puasa itu dapat mengekang keinginan batiniah (Nafsu Syahwat). 
6)      Menyuburkan perasaan keibubapaan
7)      Mewujudkan disiplin Rumah tangga.       

Suami isteri bertikam lidah di hadapan anak-anak. Bagaimana nanti psikologi mereka?  Sepatutnya, segala masalah dibincang di tempat yang tenang dan lebih privasi. Ini bukan sahaja mengelakkan aib diri malah keluarga turut terpelihara. Aduh bagaimana nanti, jika aku mendapat pasangan yang turut sama panasnya dengan diriku. Pastinya gunung berapi meletus di dalam rumah tanggaku nanti. Aku perlu solehahkan diri dahulu tapi aku perlu pembantu. Aku perlu perlindung. Aku perlu penyokong.

Aku lihat seorang bapa, bibirnya tak kering daripada sumpah seranah kepada si anak. Pantang silap sikit, perkataan kurang enak pasti keluar dari bibiryang mempunyai lidah yang tak bertulang. Ada kalanya kaki tangan menari seiring dengan kata-kata kesat khas buat anak-anak. Istighfar aku sendirian. Dalam hati tercuit untuk menegur tetapi diam berfikir memilih masa yang sesuai. Kata orang, jika api kecil jangan dicurah minyak ke atasnya.

Aku ingin seorang suami yang mantap agamanya, seorang suami berkarisma kepimpinannya. Seorang suami pendamai orangnya. Kalau bukan dia boleh jadi imam di masjid atau surau, jadi Imamku di rumah pun jadilah. Kalau kaya pula, bukan harta benda, tapi kaya budi pekertinya. Biar anak-anakku nanti mengikut jejak langkahnya.  Kalau miskin pula, biarlah la dia miskin dengan hiburan yang melalaikan. Kalau kerja pula, sekadar kerja dari sumber rezeki yang halal. biar pun hanya petani tapi pandai berusaha dan halal. Bukankah Rasulullah s.a.w dahulu pun hanya pengembala kambing???

Dasar pemilihan calon suami isteri telah diberi tunjuk ajar oleh agama Islam. Hadis yang selalu kita dengar mengenai kriteria calon isteri:

“Dikahwini wanita itu (untuk dijadikan isteri) kerana empat perkara iaitu harta kekayaannya, keturunannya, kecantikannya dan agamanya. Maka utamakanlah (dalam pemilihanmu itu) wanita yang kuat beragama, nescaya sejahtera hidupmu”
(Riwayat Bukhari dan Muslim).

Selain daripada itu terdapat beberapa dasar pemilihan isteri:

1)      Perempuan yang taat beragama.
Sabda Rasulullah s.a.w: “Dunia ialah perhiasan dan sebaik-baik perhiasan ialah wanita solehah”.
2)      Berketurunan yang baik dan dibesarkan dalam persekitaran yang sempurna.
3)      Perempuan yang subur dan berpotensi melahirkan anak yang ramai.
4)      Sekufu atau hampir sekufu
5)      Masih gadis atau Anak dara
6)      Pasangan Bukan daripada keluarga terdekat.

Manakala dasar pemilihan calon suami pula:

1)      Kuat agama dan berakhlak mulia
Hadis Nabi s.a.w yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah r.a:  “Apabila datang kepadamu seorang (lelaki) yang kamu redai agama dan akhlaknya datang meminang, maka kahwinmkanlah anakmu itu. Jika tidak berbuat demikian, nescaya akan berlaku fitnah dan kerosakan di atas muka bumi”.
2)      Bukan keluarga terdekat
3)      Bebas daripada penyakit Berat (gila, kusta, dan lemah syahwat).

Apa yang penting agamanya? Ayah…Ibu…anakmu meminta izin untuk menikah. Jika kalian punya pilihan, biarlah agama jadi syaratnya.

Diriwayatkan dalam sebuah kisah, seorang lelaki datang menemui Hasanbin Ali RA (cucu Rasulullah SAW) untuk meminta nasihat. Katanya, “Anakperempuanku dipinang oleh beberapa orang lelaki. Dengan lelaki yangbagaimanakah yang layak dikahwinkan dengan puteriku?” Hasan menjawab,“Kahwinkanlah dia dengan lelaki yang bertakwa kepada Allah, kerana jika iamenyukai isterinya ia pasti mengasihinya, teteapi jika ia tidak menyukai isterinyapasti ia tidak akan berlaku zalim terhadapnya (tetap menghormati isterinya)”.

Mas kahwinnya tak perlu emas perak atau wang ringgit. Sekadar senaskah kitab suci Al-Quranul Karim, itu sudah memadai bagiku.

Ayah…Ibu… jika anakmu kurang akhlaknya, tegurlah. Kalau anakmu terkasar bahasanya, tegurlah. Ini merupakan tempias daripada persekitaran yang dilalui lebih 20tahun. Aku ingin berubah. Aku tidak mahu anak-anakku hidup dalam situasi yang sama denganku.

namun kini sukar memilih calon kerana lelaki meletakkan taraf soleh buat si isteri tetapi meletakkan piawaian yang rendah buat dirinya sendiri. lelaki atau perempuan perlu soleh dan mengsolehahkan diri masing-masing. Sekiranya ada kekurangan salah seorang dari pasangan tersebut maka lengkapilah mereka. Wallahualam.

No comments:

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails