Friday, February 25, 2011

Rela Vs Terpaksa


Hari ini satu perarakan sempena Maulidurrasul 2011. Suasana ceria dengan pertemuan semua jabatan dan fakulti seolah-olah hari keluarga USIM diadakan. Alunan selawat dan nasyid bergema di bumi USIM. 1 minggu meraikan hari kelahiran junjungan besar kita Nabi Muhammad s.a.w, bukan sekadar mengingati hari kelahiran baginda tetapi mengingati kembali sejarah kehidupan baginda. Baginda menjadi qudwah hasanah buat semua ummah.

Semangat membuktikan cintakan Rasulullah s.a.w.
Dr.Radhi bagaikan ayah kedua  penghuni KK1,
 turut serta dalam perarakan.
Namun suatu persoalan mengetuk pintu minda apabila melihat gelagat insan-insan yang menyertai perarakan Maulidurrasul mahupun sambutan Awal Muharam sekalipun. Mereka bergelak ketawa, keceriaan tergambar di wajah masing-masing tapi adakah mereka benar-benar menghayati tujuan perarakan itu? Atau sekadar satu event tahunan? Adakah hadiah utama, piala pusingan yang diidam-idamkan? Maaf jika ada yang tersinggung,

Dalam suatu situasi, “ Bersedia! Bersedia! Juri kat depan tu…buat-buat baca sikit..”.
Astaghfirullahal ‘azim… wujudkah suasana ini? Tepuk dada tanyalah iman kita. Jika si kekasih Allah mendengarnya, tidakkah terluka hatinya? Begitu sekali sikap umatnya sedangkan baginda begitu sayangkan umatnya.

Marilah kita merenung kembali detik-detik akhir hayat si kekasih Allah.

Pagi itu, dengan suara Baginda yang terbatas, baginda memberi khutbah.

“ Wahai ummatku! Kita semua dalam kekuasaan Allah dan cinta kasih-Nya. Maka, taati dan bertaqwalah hanya kepada-Nya. Ku wariskan dua perkara kepada kalian, Al-Quran dan sunnahku. Barangsiapa yang mencintai sunnahku, bererti mencintaiku”.

Khutbah yang singkat itu diakhiri dengan pandangan mata Rasulullah yang tenang dan penuh minat menatap wajah para sahabat Baginda. Abu bakar menatap wajah itu dengan berkaca-kaca, Umar dadanya naik turun menahan nafas dan tangisnya, Uthman menghela nafas yang panjang, Ali menundukkan kepalanya dalam-dalam. Benarlah! Isyarat itu telah datang…Saatnya akan tiba… tanda-tanda itu makin kuat…

Di balik pintu, Aisyah R.A dalam keadaan hiba mempersilakan ‘tetamu baru’ menemui Rasulullah. “Wahai Jibril, terangkan apakah hakku di hadapan Allah nanti?”, Tanya nabi dengan suara yang sangat lemah. “Pintu-pintu syurga telah sedia terbuka menunggu kedatanganmu wahai kekasih Allah”, kata Jibril. Tetapi Rasulullah masih tidak berpuas hati. “Bagaimana pula dengan nasib ummatku kelak?”. “Jangan Khuatir ya Muhammad. Aku pernah mendengar Allah berfirman kepadaku: “ Diharamkan syurga bagi sesiapa kecuali selepas ummat Muhammad telah berada di dalamnya”.

Detik itu semakin hampir. Sudah saatnya Izrail melakukan tugasnya. Dengan perlahan Roh Baginda ditarik. Tubuh Baginda bersimbah peluh… urat-urat menegang..

“Jibril, sungguh pedih sakaratulmaut ini”. Rasulullah mengaduh perlahan…

Fatimah di sebelahnya terus terpejam… Ali menunduk lebih dalam dan Jibril terus memalingkan mukanya…

“Jijikkah engkau melihat aku di saat ini wahai penghantar wahyu?”, Tanya Rasulullah kepada Jibril.

“Siapakah yang sanggup melihat kekasih Allah direnggut nyawa?”, kata Jibril.

Sebentar kemudian terdengar Rasulullah memekik dek kerana tidak tertahannya sakit.

“ ya Allah, sungguh dasyatnya sakit sakaratulmaut ini. Oleh itu, timpakanlah seluruh sakit ini kepadaku, dan bukan kepada umatku”.

Seketika itu, Ali mendekatkan telinganya di bibir Rasulullah. Lalu terbitlah dari suara Baginda yang masih tersisa… Ummati… Ummati… Ummati… Dan, berakhirlah hidup seorang manusia yang memberi sinaran kepada manusia di dunia ini.
Mengalir air mataku bila menghayati kisah seorang insan yang agung ini, yang telah pergi meninggalkan kita. Namun di saat kematiannya, dia masih mengingati kita sebagai ummatnya. Ya Allah…Kau tempatkanlah Baginda Rasulullah di sebaik-baik tempat yang Engkau janjikan. Ya Rasulullah, malunya aku untuk mengaku diri ini ummatmu apabila ada saja sunnahmu yang ku abaikan. Malunya diri ini bila mencintai yang lain lebih kuat daripada diri-Mu.

1 comment:

  1. kepada kita ummatnya yang mengaku mencintai dan merindui Nabi Muhammad saw..tunjukkan dan buktikan..taati perintahnya..jauhi laranganya..nescaya kita pasti berjumpa dengan baginda di syurga kelak..insyaAllah

    ReplyDelete

Related Posts with Thumbnails