Hari ini aku akan kembali lagi ke kampung untuk menghabiskan cuti bersama keluarga selama seminggu. Ini merupakan kali ketiga aku kembali sejak memulakan sem baru. Mungkin ada yang beranggapan aku ni “homesick” dan ada yang menyangka, “oh…dia balik la sebab cuti sem lepas tak balik kampung”. Itu terpulang kepada sangkaan masing-masing. Namun ada yang mengetahui sebab musabbabnya..
Aku pulang mencari ketenangan hati untuk melupakan masalah berbangkit. Keinginan bertambah meluak-luak lagi, apabila mendengar khabar daripada mak, mak cik sakit dan dia tinggal di rumah kami,
Pada mulanya semua beranggapan itu penyakit badan, rasa gatal-gatal di badannya. 2minggu yang lepas, aku menyaksikan sendiri keadaannya. Bila mana dia ingin menunaikan solat zohor, dia mula merasakan gatal-gatal di seluruh badannya, bagaikan tak cukup tangan untuk menggaru tempat yang terasa gatal tadi sehinggakan jadi sesak nafas dan tak sedarkan diri.
Sudah 4 buah klinik yang kami dapatkan rawatan tapi hasilnya mengecewakan. Perkhidmatan Bomoh juga ada digunakan, tapi sebenarnya aku kurang yakin dengan cara itu, tapi untuk meraikan permintaan mak cik dan yang lain, aku hanya akur. Sehinggalah satu malam sebelum aku kembali pada isnin lepas, kami dibawa ke Kubang Kerian untuk mendapat rawatan daripada seorang Ustaz.
Alhamdulillah, hatiku menyetujui cara rawatan yang dilakukan. Ustaz tersebut menasihatkan untuk mandi dengan air(sebaldi) yang telah dicampur dengan garam + ais + minyak ubat khas yang telah disediakan. Selain itu, air tadi dibacakan surah al-Fatihah(1x) dan Ayat Kursi(7x). Waktu yang diutamakan untuk mandi dengan air tersebut di antara selepas subuh sehingga sebelum asar. Ustaz juga menyarankan supaya sesiapa di kalangan kami yang terasa gatal-gatal boleh juga mengamalkan mandian itu.
Semoga Allah memberi kesembuhan dan Allah memberi hidayah kepada mereka yang melakukan kesilapan…Amiin
Info 1: Santau dari Wikipedia Bahasa Melayu, ensiklopedi bebas, didefinisikan sebagai tuju-tuju, merujuk kepada sejenis ilmu hitam yang digunakan untuk meracun musuh. Secara umum, santau dilakukan dengan 2 cara iaitu cara fizikal dan cara santau angin.
Santau secara fizikal biasanya meracun seseorang melalui makanan atau minuman. Makanan seseorang itu ditaruh miang buluh, kaca, serbuk Ipoh, bisa besi, dan lain-lain. Bahan-bahan tersebut akan memasuki perut seseorang dan akan melukakan bahagian dalam perut. Musuh yang termakan racun santau ini akan muntah darah, pitam, pengsan dan meninggal dunia.
Terdapat juga jenis santau yang hanya perlu diletakkan pada baju atau kasut mangsa. Bagi santau jenis ini, serbuk kaca atau buluh akan menyebabkan rasa miang yang menyebabkan mangsa menggaru. Perbuatan ini akan melukakan kulit mangsa dan membolehkan bahan racun ramuan santau memasuki saluran darah, dengan itu meracun mangsa.
Santau angin lebih mistik iaitu dengan bacaan jampi tertentu dan dihembuskan ke arah musuh. Menurut kepercayaan juga, pengamal ilmu santau sukar atau tidak dapat zuriat disebabkan bisa santau yang diamalkan oleh mereka mampu membunuh zuriat yang dikandung oleh isteri mereka
INFO 2: Santau adalah istilah penyakit yang terkenal dalam masyarakat Melayu, khususnya di Nusantara. Penyakit yang tergolong dalam nama santau itu wujud.
Penyakit itu biasanya dikenali berdasarkan tanda-tanda zahir yang dialami oleh pesakit. Contohnya batuk berpanjangan, berbulan-bulan, kadang-kadang mengambil masa bertahun, dengan menggunakan pelbagai ubat, tetapi batuk tidak hilang.
Ada juga yang batuk mengeluarkan darah, hilang selera makan, badan kurus kering, kulit berkedut-kedut, kuku kebiru-biruan, disekeliling mata juga kebiru-biruan, tidak bermaya, sejuk kaki tangan khususnya pada petang hari, murung, tidak ceria dan sebagainya.
Penyakit sedemikian tidak semestinya santau. Ia boleh berlaku sedemikian dengan sebab fizikal yang lain, mungkin kerana dia bermasalah penyakit paru-paru rosak atau tonsil kronik atau sakit TB, keracunan dan sebagainya.
Pesakit jenis ini biasanya akan terubat dengan doktor pakar. Mungkin kerana sudah diubati tetapi tidak sembuh, maka mereka beralih kepada rawatan alternatif.
Salah satu yang sering dirujuk ialah bomoh santau atau perawat-perawat lain. Kebanyakan pengubat akan memberitahu pesakit itu bahawa dia terkena penyakit santau.
Ertinya ada orang bagi dia makan sesuatu, atau dia memakan ramuan yang di dalamnya ada santau.
Apa dia santau? Saya sendiri tidak tahu apa dia sebenarnya. Cuma hasil daripada percakapan banyak orang, kononnya santau diperbuat dari bahan yang amat-amat bisa.
Dikatakan ia diperbuat daripada bulu ulat bulu yang mati merana (meragan), dicampur dengan bisa ular, lipan atau kala jengking dan dicampur dengan kaca halus daripada bal lampu kalimatang yang ditumbuk halus.
Selepas itu ia dikatakan melalui proses adunan tersendiri dan dikeringkan, dijadikan serbuk untuk diletakkan dalam makanan atau minuman. Ini adalah cerita lisan, tiada orang yang boleh mengesahkan ia adalah santau yang sebenarnya.
Kalaupun ada yang membuat santau, tentulah dia merahsiakannya dan tidak mungkin dia mendedahkan rahsianya kepada orang.
Adakah orang yang sanggup membuatnya untuk menganiayai orang lain? Semata-mata dengan sedikit bayaran dunia, tidak kah mereka takut kepada dosa dan sebagainya?
Zaman ini manusia menjadi makhluk yang serba boleh, serba jadi. Misalnya mereka sanggup mendera isteri, mendera orang gaji, membunuh diri, keluarga dan rakan, serta melakukan pelbagai kemusnahan.
Manusia menjadi haiwan, malah lebih teruk daripada haiwan. Apakah itu (menggunakan santau) tidak dikatakan sebagai manusia kerana wang atau kerana hendak memuaskan hati?
Oleh santau adalah salah satu daripada kekejaman manusia. Yang penting tanda-tanda penyakit tadi jelas, orang itu sakit, setiap sakit ada ubatnya.
Berubatlah dengan cara yang betul, apabila Allah bukakan ruang kesembuhan, insya-Allah kena ubatnya, penyakit akan sembuh.
Sering kita dengar ada orang yang boleh membeli santau daripada orang tertentu dan sebagainya, itu adalah kata orang, anda jangan mudah mempercayainya.
Oleh yang demikian, berdoalah kepada Allah agar kita selamat dari kedengkian manusia.
Wallahu a'lam.
(Petikan dari Akhbar Harakah Bil1340, Ruangan Bersama Ustaz Dr. Haron Din)
Wallahu a'lam.
(Petikan dari Akhbar Harakah Bil1340, Ruangan Bersama Ustaz Dr. Haron Din)