Saturday, April 24, 2010

warkah buat sang Daie...

Warkah buat sang Da’ie…

Alhamdulillah segala puji pada al-khaliq yang menciptakan alam semesta dan seisinya. Puji dan syukur kepada-Nya atas nikmat kasih saying yang tak ternilai memberi hidayah Iman dan Islam untuk kita agar Dakwah tidak dijadikan yang ke-2, dan ilmu pengetahuan bukan yang pertama. Begitu juga kemahuan di dunia dan di akhirat biarlah seimbang.

Sepertimana kita maklum, Sesebuah bangsa atau masyarakat itu maju adalah kerana ilmu yang mereka miliki. Kerajaan Mesir kuno, kerajaan Babylon, Rom, Farsi, kerajaan Islam di zaman gemilangnya dan kini Barat pula telah mencapai kemajuan yang tinggi sebagai pusat tamadun kerana mereka menerapkan dan mengutamakan ilmu pengetahuan di dalam kehidupan mereka. Dengan itu, ilmu pengetahuan merupakan dasar utama bagi seseorang atau sesebuah negara atau bangsa yang ingin mencapai kemajuan dalam segenap bidang. Tidak mungkin seseorang atau sesebuah negara dan bangsa dapat mencapai kemajuan di dalam apa jenis bidang sekalipun jika seseorang itu atau rakyat di dalam negara berkenaan masih dalam keadaan bodoh dan mengenepikan ilmu pengetahuan.

Begitu pentingnya ilmu pengetahuan di dalam arena kehidupan sehingga Rasulullah s.a.w menyuruh umatnya supaya bergiat mencari ilmu, sama ada ilmu sekular atau ilmu ukhrawi. Ilmu sekular dimaksudkan supaya umat Islam mampu mengharungi bahtera kehidupan ini dan bersaing dengan orang-orang kafir agar ummah tidak bergantung kepada mereka dalam keadaan apa pun.

Dengan mempelajari ilmu sekular secara teratur dan betul, umat Islam akan dapat mencapai kehidupan yang tenteram dan selesa kerana kebijaksaan mengolah segala yang diciptakan Allah di muka bumi. Ilmu yang bersifat ukhrawi pula wajib dituntut oleh setiap Muslim agar ia tidak melanggar perintah-perintah Allah di dalam kehidupannya, dan sebagai bekalannya menuju alam akhirat yang kekal abadi. Apabila kedua ilmu tersebut dapat berjalan seimbang, nescaya kehidupan ummah akan bahagia dan sejahtera baik di dunia mahu pun di akhirat sana.

Firman Allah s.w.t:
9. (apakah kamu Hai orang musyrik yang lebih beruntung) ataukah orang yang beribadat di waktu-waktu malam dengan sujud dan berdiri, sedang ia takut kepada (azab) akhirat dan mengharapkan rahmat Tuhannya? Katakanlah: "Adakah sama orang-orang yang mengetahui dengan orang-orang yang tidak mengetahui?" Sesungguhnya orang yang berakallah yang dapat menerima pelajaran.

Rasulullah s.a.w bersabda:
“Sesiapa melalui jalan di mana ia menuntut ilmu pada jalan itu, nescaya Allah memudahkan baginya jalan menuju syurga”.
(Riwayat Muslim).

“Sesiapa keluar untuk mencari ilmu, nescaya dia ada di dalam jihad fi sabilillah hingga dia kembali”
(Riwayat Tirmizi)

Wahai sang Da’ie…

Betapa tinggi kedudukan ilmu jelas tersirat di dalam kedua-dua hadith di atas. Pengaruhnya benar-benar meresap di hati setiap Muslim, agar mereka berghairah untuk menuntut ilmu sebanyak mungkin. Tidak hairanlah jika di dalam waktu yang singkat sahaja, perkembangan ilmu pengetahuan di kalangan umat Islam dengan begitu pesat sekali, hanya orang-orang jahil sahaja yang enggan menuntut ilmu.

Di bidang ilmu ukhrawi, muncullah para ulama yang masyhur di bidang masing-masing seperti ilmu tafsir, ilmu hadith, ilmu tauhid, ilmu fiqh dan cabang-cabang ilmu berkenaan, serta dikarang pula oleh mereka dalam pelbagai buku yang kini tersebar di seluruh dunia. Di bidang ilmu sekular pula, lahir para cendikiawan Muslim yang lebih hebat dari para cendikiawan bukan Islam. Bahkan, kualiti penemuan mereka di bidang ilmu pengetahuan lebih tinggi dibandingkan penemuan cendikiawan Yunani dan Rom yang menjadi pujaan Barat. Banyaknya bangunan-bangunan indah dan susunan kota yang menarik di sepanyol dan daerah-daerah Eropah lain membuktikan betapa majunya ilmu pengetahuan umat Islam di zaman gemilangnya. Seni bangunan Islam ini member pengaruh yang besar ke atas seni arkitektur Eropah.

Ilmu pengetahuan lain juga ditemui oleh para cendikiawan Islam, seperti ilmu kimia, sains, kedoktoran, kesusasteraan, filsafat dan falak. Dalam bidang ilmu tersebut, bangsa Eropah mempelajarinya dari umat Islam.

Rasulullah s.a.w telah bersabda di hadapan umum: “Aku adalah kota ilmu dan Ali pintu gerbangnya”
Dengan ucapan baginda itu, ramai orang Islam yang iri hati terhadap Saidina Ali lalu ada sepuluh orang yang mempersiapkan pertanyaan untuk menguji Ali. Salah seorang dari mereka bertanya:
“Hai Ali, manakah yang lebih utama, ilmu atau harta?
Ali menjawab:”Ilmu lebih utama daripada harta, kerana ilmu adalah warisan para anbia’, sedangkan harta-benda adalah warisan Fir’aun, syaddad dan lain-lain.
Lalu datang orang yang kedua bertanya:
“Hai Ali, manakah yang lebih utama, ilmu atau harta?
Ali menjawab:”Ilmu lebih utama daripada harta, kerana ilmu menjaga kita sedangkan harta pula kita perlu menjaganya”.
Kemudian datang orang yang ketiga bertanya:
“Hai Ali, manakah yang lebih utama, ilmu atau harta?
Ali menjawab:”Ilmu lebih utama daripada harta, kerana orang yang berilmu mempunyai ramai teman, manakala orang yang banyak harta mempunyai ramai musuh”.
Kemudian, datang pula orang yang keempat untuk bertanya mengenai ilmu dan harta sebagaimana teman-temannya sebelum itu. Namun, Ali dapat menjawabnya dengan tepat sekali.

Perlu diketahui bahawa terdapat dua jenis Ilmu, iaitu Ilmu Hal dan Ilmu Khairul Hal. Ilmu Hal adalah ilmu yang wajib dipelajari sebelum mempelajari Ilmu Khairul Hal, seperti Ilmu Tauhid, Ilmu fiqh yang bersangkut paut cara berwuduk, solat dan semua ibadah yang mesti dilakukan selepas usia baligh. Apabila Ilmu ini telah dipelajari dan difahami, barulah Muslim mempelajari ilmu-ilmu yang berkaitan dengan kehidupan seharian, seperti ilmu kemasyarakatan, kedoktoran, kesihatan dan lain-lain lagi. Demikianlah klasifikasi ilmu yang mesti dipelajari oleh setiap Muslim. Dengan demikian, setiap Muslim yang berilmu tinggi tidak akan melupakan tanggungjawab sebagai hamba dan khalifah Allah di muka bumi, dan menjalankan kewajipan-kewajipan yang dipikulkan ke atas bahunya. Sebaliknya, orang yang mengutamakan Ilmu khairul hal dan mengabaikan ilmu hal, ia akan melupakan kewajipannya sebagai hamba dan khalifah Allah, mengabaikan norma-norma agama dan menganggap diri telah cukup berilmu, padahal pada hakikatnya, ilmu itu adalah ciptaan Allah yang dianugerahkan kepada hamba-hamba-Nya.

Allah s.w.t berfirman:

28. Dan demikian (pula) di antara manusia, binatang-binatang melata dan binatang-binatang ternak ada yang bermacam-macam warnanya (dan jenisnya). Sesungguhnya yang takut kepada Allah di antara hamba-hamba-Nya, hanyalah ulama[1258]. Sesungguhnya Allah Maha Perkasa lagi Maha Pengampun.

[1258] yang dimaksud dengan ulama dalam ayat Ini ialah orang-orang yang mengetahui kebesaran dan kekuasaan Allah.

Wahai sang Da’ie…
Langkahmu masih panjang. Sekali dikau bermula jangan sesekali mengalah atau mengundur diri. Pastikan apa yang dikata, dikau kotakan. Jadilah seorang yang bercakap benar seperti Abu Bakar As-siddiq, jadilah seumpama umar yang berani menegakkan Islam, jadilah seperti Saidina Ali yang bijaksana, satu soalan bias member jawapan yang pelbagai. Contohilah Rasulullah s.a.w, si anak yatim yang Qudwah Hasanah.


note: adaptasi drp buku tentang akhlak Rasulullah sempena program "Mahabbatul Baina Mujahidin" anjuran Exco SPMM, USIM.WAllahua'lam

No comments:

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails